Saturday 11 March 2017

Catatan Umrah 1 - Bila nak pergi umrah?



16 Disember 2016.
Tarikh ini adalah tarikh keramat buat kami. Saya dan sidia. Baru saja menyambut Anniversary perkahwinan kami yang ke 22. Perjalanan hidup yang sangat panjang dan penuh ranjau. Hampir tak terasa kerana bila ia sudah hadir dan berlalu,  kita teringin sekali untuk menoleh belakang dan mula merasa teruja dengan langkah-langkah kami yang sumbang. Tarikh ini juga tarikh penuh bermakna kerana akhirnya kami diberi peluang dan laluan oleh Allah untuk melakar perjalanan kami yang telah lama kami rancang yakni melakukan umrah. Tarikh telah dipilih. InsyaAllah catatan yang bakal saya lakar di dalam blog ini akan memberi panduan dan petunjuk mudah untuk bakal-bakal tetamu Allah. Memang terasa seperti tidak berdaya kerana terfikir di dalam minda, siapa lah saya. Ada ramai lagi diluar sana yang begitu teliti menulis coretan tentang pengalaman umrah dan haji yang sangat tertib dan jelas. Saya pula bukanlah sesiapa.

Namun jauh di sudut hati saya, alangkah manisnya jika ada sesuatu yang saya tinggalkan dan lakarkan di halaman kegemaran saya ini untuk panduan sesiapa saja yang begitu berdebar untuk ke sana seperti mana saya pada saat itu. Niat saya cuma satu, biarlah ianya menjadi panduan dan ilmu yang sangat berguna untuk sesiapa saja yang bakal jadi tetamunya. Coretan saya nanti adalah pendapat umum saya, maaflah jika tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak.  Muga mana yang boleh dijadikan panduan, kekal lah ia dihati pemilik hati itu untuk beliau terus teruja sementara menunggu jemputan Allah untuk menunaikan umrah atau haji. Juga untuk doa diri sendiri, semuga tiada niat lain seperti menunjuk-nunjuk, takbur atau negatif di dalam sepanjang saya menulis tentang perjalanan umrah kami.

Sebenarnya perancangan asal yang ada ialah kami sedang menunggu untuk menunaikan haji secara muassasah. Walaupun masa agak singkat, ada teman-teman yang memohon pada tarikh seangkatan sudah mula mendapat tawaran haji. Mungkin kami belum bernasib baik. Kita merancang dan Allah jua merancang untuk kita.

Sebaik confirm dengan tarikh, saya dan suami mula melakukan persiapan dan persediaan fizikal. Memang nampak mudah, namun apa yang saya alami ialah satu transformasi dalam diri tentang kesedaran untuk fokus pada ibadah yang tak pernah dilakukan sebelum ini.

Bila waktu yang sesuai untuk melakukan umrah ? - Pilihlah seawal mungkin, sebaik sahaja kita mampu terutama dari segi kewangan untuk melakukannya. Mula fokus dan simpan keinginan untuk pergi ke tanah suci. Caranya dengan mula menyimpan di tabung haji untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Haji - ibadah yang perlu menunggu dan mengikut regulasi negara kita. Apabila jumlah wang dah cukup, mula merancang untuk umrah kerana ianya tiada kekangan masa sepertimana menunaikan haji.  Jadi fokuskan untuk umrah. Jangan kata kita masih belum bersedia. Malah masa yang ditunggu itu tak akan tiba walau sampai bila kita menunggu.

Ada orang beruntung kerana ibubapa sudah simpan dan daftarkan haji untuk kita. Namun untuk yang tiada peluang sedemikian, mula menyimpan sendiri. Ada orang yang menyangka, biarlah saya menyimpan dan fokus untuk haji sahaja. Di sini perlu ada ilmu. Umrah pertama kali adalah wajib.

Pendapat jumhur ulama mengatakan yang umrah itu wajib dilakukan sekali seumur hidup. Namun jika diulang berkali-kali, maka ia menjadi sunat dan akan memperoleh pahala yang banyak.

Sabda Rasulullah SAW menyebut dengan maksudnya:

“Haji dan umrah itu kedua-duanya wajib. Tidak mengapa mengerjakan yang mana dahulu.”

Namun demikian, adalah tidak wajar bagi sesetengah orang yang menunaikan umrah berkali-kali tetapi belum menunaikan haji. Ibadah haji adalah fardhu dan perlu diberi keutamaan berbanding umrah dan dalam ibadah haji itu sendiri perlu diiringi oleh umrah.

Walau bagaimanapun, eloklah dilakukan dahulu umrah sebagai persediaan mengerjakan haji bagi membiasakan diri dengan amalan dan perbuatan serta keadaan persekitaran Tanah Suci. Bagi saya, kata-kata itu memang betul. Begitu terang jelas nyata segalanya. Barulah rasa ingin ke sana itu dapat difahami. Betapa tenangnya jiwa bila berada di sana. Betapa makna ingin pergi ke tanah suci itu betul-betul melekat di jiwa. Waktu itu, sekarang mahupun akan datang.

Bersambung...


No comments:

Post a Comment